Selamat Datang Kepada Anda Semua

Seram Giler La - Merupakan Blog Himpunan Kisah Seram Dan Mistik Yang Benar-Benar Atau Tidak Sengaja Berlaku Di Sekeliling Kita. Sumber Koleksi Kisah Seram Dan Mistik Ini Dan Gambar-Gambar Yang Dikumpul Dari Sumber Internet Mahupun Email Yang Dihantar Kepada Saya . Tujuannya adalah untuk berkongsi pengalaman-pengalaman seram yang tak pernah kita lalui sepanjang hidup kita.. Keseraman Bermula Hanya Di Sini

Halaman

Jumaat, 5 April 2013

Pengalaman Di Riau (Kisah Seram)


Pengalaman Di Riau


Cerita seram yang akan saya ceritakan ini tidak berlaku hanya dalam satu malam atau satu kejadian saja. Bayangkan seperti bila kita menonton cerita seram di mana cuaca memainkan peranan yang menambah keseraman yang dirasakan ketika itu.

Ceritanya bermula waktu saya ditugaskan bekerja di sebuah bandar di Riau, tempatnya di Bandar Pekan Baru. Setelah bertugas di sana selama lebih kurang 3-4 bulan dan selama itu menginap di motel lebih kurang dua minggu bagi setiap kali saya di sana, syarikat saya telah membuat keputusan menyewa rumah sebagai tempat penginapan kami yang bertugas di sana agar lebih selesa.



Waktu wakil syarikat saya mencari rumah, saya telah pulang ke Singapura dan bila saya kembali ke Pekan Baru, rumah telah disewa dan menunggu saya berpindah ke situ bila ia siap untuk dibersihkan. Beberapa hari setibanya saya di sana, saya pun bersiap untuk menginap di rumah tersebut. Rumah tersebut terletak di daerah yang bagus dan di tengah kota Pekan Baru cuma rumahnya adalah rumah lama.

Kebiasaan rumah di sana mempunyai bilik yang ada perigi di dalamnya kerana penduduk di sana susah mendapatkan air lebih lagi bila musim panas, jadi mereka banyak menggunakan air perigi. Kerana hari masih siang dan saya mendapati ada orang yang memberi khidmat memasang pam bagi perigi dalam rumah, saya pun meminta lelaki itu memasang pam bagi perigi di rumah itu. Disini lah bermula pengalaman seram saya.

Sebelum kerja memasang pam air dimulakan, saya telah menunaikan solat Zuhur dahulu dan selesai solat saya pun baring di bahagian ruang tamu sambil menonton televisyen. Saya baring mengarah terus ke pintu bilik yang mempunyai perigi, kononnya biar saya boleh sambil2 melihat lelaki itu membuat kerja. Kelihatan lelaki itu buat kerja dengan tekun sambil keluar masuk antara ruang makan dan bilik perigi itu. Waktu itu teman saya sedang di bilik tidur mengemas pakaian.

Tiba-tiba terdengar jeritan kuat dari bilik perigi dan lari keluar lelaki tersebut dengan memegang jari beliau. Saya dapati lelaki itu telah terpotong jarinya dan lukanya amat besar dan dalam. Saya melihat luka itu terbuka menampakkan tulang beliau. Dengan cepat dia membasuh jari nya di bawah paip dan menyiram dengan air langsung luka itu dibalut. Nasib baik kerja beliau sudah selesai tapi saya mendapati darah beliau telah menitis ke dalam perigi. Selesai lelaki itu pulang saya kembali baring di ruang tamu dan teman saya ke bilik seperti sebelum kejadian itu. Tetapi bila saya memandang ke arah bilik perigi, saya ternampak seperti susuk tubuh lelaki berjalan masuk ke bilik perigi. Dalam keadaan terperanjat saya istighfar panjang dan menukar arah pandangan saya.

Apabila tiba waktu malam selesai solat Maghrib, saya telah meminta beberapa orang dan imam masjid berdekatan untuk membaca doa selamat. Seperti amalan di sana, selesai doa selamat imam telah merenjis seluruh rumah dengan air yang telah diletakkan di hadapan orang yang membaca doa selamat tadi. Selesai acara doa selamat dan semua tetamu telah pulang, saya dan teman terus menutup pintu dan tingkap rumah untuk tidur kerana kami sungguh penat seharian.

Tak lama kemudian, kedengaran hujan renyai mula turun. Sedang kami sudah mahu tidur dan jam waktu itu kira kira sekitar pukul sebelas, saya dan teman mendengar di luar halaman rumah seperti ada orang sedang menyapu dengan mengunakan sapu lidi, "Sshrek..... Sshhrek... Sghrek..' bunyi kedengaran. Kami sungguh hairan siapa yang meyapu walhal kami sudah mengunci pintu pagar dan yang ada di rumah itu cuma saya dan teman. Kami cuba mengintip dari celah tingkap tapi tak boleh kerana tingkap sungguh rapat. Saya mahu membuka tingkap tapi teman saya melarang. Keadaan waktu itu benar-benar seperti dalam cerita seram.

Saya cuba mahu melihat dengan memanjat dan melihat melalu jaring di atas tingkap tapi tak boleh sebab jaring terlalu tinggi dan hampir ke siling. Bunyi itu berhenti selepas sekitar 20 - 25 minit dan saya dan teman terus tidur sampai pagi. Waktu pagi kami lihat penyapu lidi sudah bertukar tempat dari hari sebelumnya.

Hari kedua di rumah itu lebih menakutkan. Pada siang hari saya dan teman telah membeli alat pemain pita audio dan saya memainkan audio mengaji ayat-ayat suci Al-Quran dan saya dan teman pulang selepas makan sekitar jam tujuh malam. Sekitar jam sepuluh malam, saya dan teman mendengar suara bayi menangis yang datang dari bilik garaj. Kami rasa agak hairan tapi takut namun kami keluar dari kamar, tetapi yang kami dengar lebih dari suara bayi menangis. Ada juga suara seseorang bersiul-siulan. Kami langsung lari masuk ke bilik dan mengunci pintu. Sebentar kemudian, di luar kedengaran hujan turun dan sekali lagi bunyi orang menyapu seperti malam sebelumnya. Kami tambah takut namun tak boleh berbuat apa-apa.

Beberapa minit kemudian sesuatu yang lebih menakutkan berlaku. Pintu bilik kami telah digoyanglam dengan kuat seperti seseorang yang cuba membuka pintu. Keadaan ini berlaku sekitar 2-3 minit. Pintu bilik terus digoyang dengan kuat. Saya dan teman duduk di atas katil terpaku dan dalam keadaan ketakutan. Kami tak boleh tidur hingga sekitar jam 4 pagi.

Keesokan harinya, kami terus meminta seorang dukun dari Jakarta untuk datang hari itu juga dan menolong mengatasi masalah itu. Malam itu dukun itu telah menjalankan upacara memindahkan semua makhluk-makhluk di rumah itu sekitar jam dua pagi. Kami diberitahu di rumah itu ada banyak makhluk termasuk ada makhluk bayi yang di garaj, makhluk wanita muda, makhluk lelaki yang ganas - ini yang cuba membuka pintu bilik, makhluk lelaki yang berada di dapur yang sentiasa bersiul-siulan.

Upacara memindahkan berjaya dilakukan namun kami diberitahu makhluk bayi dan makhluk lelaki di dapur itu tak bisa dipindahkan. Makhluk lelaki di dapur itu sentiasa bersiul tanpa kira waktu walaupun waktu siang hari. Kami dinasihatkan supaya memarahi makhluk yang bersiulan itu setiap kali kami dikacau dan dia akan diam, dan waktu malam kami masih terus mendengar suara bayi menangis dari garaj.

Beberapa hari selepas itu saya mendapat tahu rumah itu dulu dimilki seorang doctor bedah siasat atau Ahli Pathologi, yang sudah meninggal dunia sekitar lima belas tahun sebelumnya dan rumah itu sudah tidak berpenghuni selama lebih sepuluh tahun. Selepas Hari Raya, saya membuat keputusan keluar dari rumah itu dan terus pulang ke Singapura. Ini cerita benar dan pengalaman paling menyeramkan saya yang pernah saya lalui.

Salam,
Ms C

Tiada ulasan:

Catat Ulasan